Monday, October 13, 2014

Keselamatan Kanak-Kanak di Pusat Penjagaan Kanak-Kanak. Bincangkan.



Istilah keselamatan membawa maksud menghindari keadaan yang boleh membawa kemalangan. Umum sedar, kes kecederaan, kemalangan dan kematian di pusat penjagaan kanak-kanak semakin berleluasa sehingga membimbangkan masyarakat amnya dan ibu bapa khususnya. Dalam konteks ini, keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak amat perlu di titik beratkan dan tidak boleh di pandang enteng. Justeru, pelbagai langkah perlu di ambil oleh pihak yang berkenaan bagi menjamin keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan. 
Malaysia telah menetapkan syarat kepada premis pusat penjagaan kanak-kanak supaya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Perkara ini merupakan jaminan daripada kerajaan kepada ibu bapa untuk menghantar anak ke pusat penjagaan yang sah dan diperakui keselesaan, sukatan pembelajaran, keselamatan, kaedah pendisiplinan dan sebagainya.Sijil pendaftaran ini perlu dipamerkan dengan jelas dipejabat atau dipapan notis premis pusat penjagaan.Terpulang kepada ibu bapa atau penjaga sendiri samada mahu menghantar ke premis yang berdaftar atau tidak bak kata pepatah ‘Tepuk dada tanya selera’.
Faktor persekitaran di pusat penjagaan adalah faktor  utama yang perlu ditekankan bagi menjamin keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan. Ia merangkumi keadaan di luar pusat penjagaan, susun atur peralatan di dalam pusat penjagaan, keselamatan didalam bilik, keselamatan di tandas sehingga ke bahagian dapur pusat penjagaan. Keadaan-keadaan ini boleh mengundang kepada kecederaan fizikal di kalangan kanak-kanak jika di ambil mudah. Penyusunan yang teratur di luar pusat penjagaan seperti selipar atau kasut yang disusun rapi dan kawasan halaman yang sentiasa bersih memberi impak besar terhadap keselamatan kanak-kanak dipusat penjagaan. Hal ini kerana, kawasan persekitaran yang kurang dijaga boleh mengundang anasir yang tidak baik berupa haiwan liar dan kejadian jenayah. Sejajar dengan itu, susun atur peralatan di ruang pembelajaran, ruang riadah dan kebersihan bilik juga perlu diutamakan.Pastikan kerusi dan meja di susun dengan baik selepas digunakan dan mainan disimpan di tempat yang disediakan. Peralatan mainan itu juga perlu bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak. Hal ini kerana ia dapat menggalakkan ‘pembelajaran melalui permaina’ dan menggalakkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak.  Kanak-kanak juga perlu diasingkan mengikut peringkat umur di setiap bilik bagi mengelakkan sebarang kemalangan berlaku contohnya kategori bilik A adalah untuk kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 2 tahun, kategori bilik B untuk kanak-kanak berusia 3 hingga 4 tahun dan sebagainya. Kanak-kanak juga perlu di awasi daripada bermain di dalam tandas secara bersendirian tanpa kawalan atau pengawasan pengasuh di pusat penjagaan. Beralih ke bahagian dapur pusat penjagaan, dapur merupakan ‘plot area’ yang boleh diklasifikasikan sebagai MERBAHAYA kepada kanak-kanak kerana amat terdedah kepada kemalangan. Keadaan lantai yang licin, peralatan tajam dan merbahaya boleh mengundang pelbagai perkara buruk. Justeru langkah keselamatan perlu dititik beratkan seperti mop lantai, menyimpan peralatan tajam dengan selamat dan elakkan kanak-kanak berada di kawasan dapur.
Sabda Rasulullah SAW “Berpagi-pagilah (subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah keberkatan dan merupakan kejayaan.” (Riwayat Tabarani dalam al-Awsath). Sedari itu, ibu bapa menghantar kanak-kanak di pusat penjagaan sehinggalah petang menjelang. Pusat penjagaan juga boleh diibaratkan sebagai sahabat kepada kanak-kanak kerana boleh dikatakan masa seharian kanak-kanak banyak terluang di pusat penjagaan berbanding di rumah sendiri.  
Selain daripada itu, tanggungjawab menegur dan ingat mengingati ibu bapa atau penjaga terhadap pengasuh di pusat penjagaan kanak-kanak. Menyerahkan bulat-bulat tugas menjaga dan mendidik kanak-kanak semasa keluar bekerja kepada pusat penjagaan kanak-kanak adalah satu langkah dangkal yang perlu dielakkan oleh ibu bapa atau penjaga. Ibu bapa atau penjaga seharusnya sentiasa membuat pemeriksaan atau pemantauan di pusat penjagaan kanak-kanak. Secara tidak langsung, hal ini dapat menghindarkan sikap sambil lewa atau acuh tidak acuh pengasuh terhadap keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak. Pengasuh di pusat penjagaan juga perlu memiliki kemahiran memberi bantuan kecemasan. Perkara ini turut dibangkitkan oleh Wanita Pertama Negara iaitu Datin Seri Rosmah Mansor yang menekankan antara aspek yang perlu diberi perhatian adalah bantuan pemulihan pernafasan dan jantung (CPR) kerana ia mampu menyelamatkan nyawa seseorang. Sebagai Penaung Program Permata Negara, beliau amat menitikberatkan perkembangan kanak-kanak agar rohani dan jasmani mereka terdidik dengan baik.
Pada zaman serba canggih ini, tidak salah sekiranya teknologi dapat diguna pakai di pusat penjagaan kanak-kanak untuk dimanfaatkan bersama. Dengan mengaplikasikan aspek teknologi keselamatan, iaitu melalui pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup atau lebih dikenali ‘CCTV’ menyumbangkan pemantauan berterusan segala perlakuan dan tindak tanduk kanak-kanak dan pengasuh lantaran tindakan wajar dan segera daripada pihak pemantau boleh di ambil jika timbul sebarang keraguan atau sesuatu yang boleh memudaratkan keselamatan kanak-kanak secara terus dan cepat. Kebiasaannya, pihak pemantau terdiri daripada pemilik pusat penjagaan itu sendiri . Pemasangan CCTV ini juga merupakan komponen ‘value added’ untuk mendapatkan real time untuk perilaku di pusat penjagaan yang benar-benar memerlukan pengawasan sepanjang masa.
Sejajar dengan Dasar Kanak-Kanak Negara yang berinti pati perkembangan kanak-kanak yang holistik di dalam ruang yang kondusif serta memastikan Wawasan 2020 tercapai, aset negara ini perlu dipelihara dan dijaga sebaiknya dari segi mental, fizikal, rohani, jasmani, emosi dan intelek kerana merekalah nadi penggerak pembangunan negara suatu masa nanti.



No comments:

Post a Comment