Monday, October 13, 2014

Pemahaman Anda Tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan GST.


Cukai Barang dan Perkhidmatan (Goods And Services Tax) atau lebih dikenali sebagai GST adalah cukai kepenggunaan yang dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di semua peringkat perniagaan. Cukai tersebut dikenakan apabila pengguna berbelanja. Ia juga merupakan nadi penggerak dalam penyusunan semula struktur percukaian negara supaya lebih telus, efisyen dan mesra peniaga.GST akan menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan(CJP) yang telah Malaysia laksanakan sebelum ini. Pada dasarnya, GST telah dilaksanakan  di Negara Perancis seawal tahun 1950an dan  lebih 160 buah negara telah melaksanakan GST. Malaysia adalah di antara 3 buah Negara yang belum melaksanakan GST di ASEAN selain Myanmar dan Brunei.
Kadar bagi GST yang telah ditetapkan adalah 6%. Threshold GST adalah sebanyak RM500,000. Ini bermaksud melalui perlaksanaan GST, perniagaan yang tidak mencapai nilai jualan tahunan pembekalan bercukai RM500,000 tidak perlu mendaftar di bawah GST. Namun begitu, pendaftaran secara sukarela amatlah digalakkan.
Secara kasar dapat dilihat bahawa GST akan dikenakan ke atas nilai tambah di setiap peringkat perniagaan bermula daripada pembekal sehingga kepada pengguna. Pengeluaran dan penjualan akan melalui peringkat pungutan dan pembayaran GST.Setiap peniaga perlu membayar GST kepada pembekali ke atas barang atau perkhidmatan yang diperolehi serta berhak mengenakan serta memungut GST ke atas barang atau perkhidmatan yang dijual oleh mereka.Rasionalnya disini apabila di akhir setiap tempoh bercukai bagi peniaga yang berdaftar di bawah GST, peniaga boleh menolak cukai input dan cukai output. Jika cukai output melebihi cukai input, perbezaannya akan dibayar kepada Kerajaan. Jika cukai input melebihi cukai output, peniaga boleh menuntut pulang balik dari Kerajaan.
GST merupakan suatu sistem percukaian yang lebih baik dan adil berbanding CJP yang telah diguna pakai sebelum ini. Antara faedah GST adalah pengurangan kos perniagaan kepada golongan peniaga dimana peniaga boleh menuntut sepenuhnya cukai yang dibayar ke atas input perniagaan. Impak daripada manfaat yang diterima oleh peniaga ke atas cukai bahan mentah / barang dan perkhidmatan di setiap peringkat perniagaan adalah kos perniagaan menjadi rendah. Selain daripada itu, peningkatan terhadap pematuhan juga boleh diperolehi melalui pentadbiran cukai yang lebih berkawalan sendiri di mana GST mempunyai mekanisma yang tersedia. Secara tidak langsung impak terhadap karenah birokrasi juga dapat dikurang. Dalam aspek ini, jelas menunjukkan segala urusan tidak perlu lagi memohon kelulusan pengecualian ke atas bahan mentah. Kadar GST juga diberikan secara sama rata antara perniagaan yang terlibat sama ada di peringkat pengilangan, pemborong, peruncit atau di sektor perkhidmatan yang mendorong kepada kesaksamaan. Seterusnya, GST jelas menghapuskan cukai bertindih CJP sekaligus pengguna akan membayar harga yang lebih berpatutan untuk kebanyakan barang dan perkhidmatan. GST dapat menjamin ketelusan kerana pengguna akan tahu sama ada barang dibeli atau perkhidmata diperolehi tertakluk kepada cukai dan amaun cukai yang perlu dibayar. GST juga menjanjikan manfaat kepada rakyat dari segi pemulangan balik hasil kutipan cukai dalam bentuk bantuan seperti bantuan tunai sebanyak RM300 secara  one-off BRIM, penurunan kadar cukai individu kepada 1% dan kumpulan bercukai tertinggi dinaikkan kepada RM400 ribu daripada RM100 ribu.
Justeru, bagi memudahkan GST dilaksanakan di negara kita bermula 1 April 2015, sokongan padu rakyat amatlah diperlukan agar ia tercapai. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Pelbagai program kesedaran yang telah dijalankan oleh kerajaan yang diterajui Kementerian Kewangan dengan kerja sama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia   bagi meningkatkan tahap pemahaman dan pendidikan tentang GST. Segalanya bakal bermula dan berakhir hasil pilihan rakyat sendiri. Sebagai rakyat, sudah tentu kita tidak mahu negara sentiasa berada di takok yang sama tanpa sebarang anjakan kemajuan. Walaubagaimanapun, sebagai rakyat atau boleh diklasifikasikan sebagai golongan pengguna amat berharap agar kerajaan dapat mewujudkan satu mekanisme yang boleh memastikan supaya golongan pengguna tidak tergolong di dalam golongan orang yang ditindas oleh peniaga dan nasib pengguna dipandang enteng ekoran negara mengejar kemajuan dengan perlaksaan GST bak kata pepatah gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.

No comments:

Post a Comment